Tuesday, 19 March 2024

Warning

JUser: :_load: Unable to load user with ID: 999

Thursday, 06 February 2014 12:15

Keperluan Sistem Kerja Selamat Pengendali Kren

Written by
Rate this item
(5 votes)

Utusan Malaysia, 06 February 2014

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH)

SEJAK kebelakangan ini, kemalangan yang melibatkan kren kerap berlaku. Terbaru pada 26 Januari lalu seorang pekerja kilang di Georgetown, Pulau Pinang maut akibat merempuh sebuah kren yang melintang jalan.

Kren yang digunakan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan tiang lampu jalan terbalik menyebabkan lengan besi kren berkenaan melintang dan menghalang lalu lintas.

Terdahulu, sebuah jentera yang menjalankan kerja-kerja menanam cerucuk di sebuah tapak pembinaan tiba-tiba tumbang selepas berlaku mendapan tanah, berhampiran Hotel Grand Millennium, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Satu lagi kemalangan yang melibatkan kren berlaku di Subang, Selangor pada tahun lepas di mana seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas cerucuk besi seberat 10 tan menghempap dua kereta di Jalan Lapangan Terbang Subang, Selangor. Cerucuk besi yang diangkat kren itu dikatakan terlepas sebelum menghempap dua kereta yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Setiap kejadian kemalangan yang berlaku menunjukkan bahawa pengendali kren (crane operator) tidak mempraktikkan sistem kerja yang selamat dan sihat serta berkemungkinan mereka tidak diberi latihan yang mencukupi.

Bagi memastikan kren dikendali dengan selamat dan perancah dipasang oleh pekerja mahir dan terlatih, kerajaan telah mewajibkan semua pengendali kren dan pengendali perancah yang bekerja di tapak binaan mengikuti kursus kompetensi dan mempunyai sijil kelayakan yang dikeluarkan oleh institusi atau organisasi yang diiktiraf oleh kerajaan sahaja.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah peruntukan 26(1) Peraturan-peraturan (Pemberitahuan, Perakuan Kelayakan dan Pemeriksaan) Kilang dan Jentera, 1970 mensyaratkan semua kren yang digunakan mempunyai seorang operator yang berkelayakan sebelum ia boleh beroperasi.

Operator kren dikehendaki mengikuti kursus operator kren di pusat pengajar yang telah diiktiraf oleh jabatan. Ini adalah untuk menentukan tahap kemahiran mereka dan juga bagi membolehkan mereka mempelajari tatacara pengendalian kren yang betul dan selamat.

Bagi memastikan setiap pekerja mengamalkan amalan kerja selamat, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian seperti:

1. Pengenalpastian risiko ke atas persekitaran di mana kren ditempatkan sebelum aktiviti kerja mengangkat barang-barang hendaklah dijalankan sebagai langkah keselamatan.

2. Pemandu kren hendaklah dapat melihat dengan jelas kedudukan pekerja yang menjalankan kerja dan beban yang diangkat.

3. Setiap kaki kren bergerak hendaklah bertampung di atas asas yang kuat, kukuh dan bersaiz yang bersesuaian. Jika kayu digunakan, ia hendaklah daripada spesifikasi yang tidak mudah reput bila terdedah kepada kelembapan.

4. Kren bergerak beroda hendaklah diletakkan di atas tanah yang kukuh, mampat dan permukaan rata.

5. Melantik 'signalman' berpengalaman, terlatih dan berkeupayaan dalam memberi maklum balas serta merta kepada pemandu kren bergerak mengenai sesuatu keadaan berbahaya yang timbul semasa proses pengangkatan beban dijalankan

6. Pemandu kren yang dilantik hendaklah mempunyai Sijil Pendaftaran Pengendalian Kren.

Adalah diharapkan agar pihak majikan mengambil perhatian serius bagi menangani isu ini dengan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta melakukan penaksiran risiko ke atas aktiviti kerja terutamanya yang melibatkan penggunaan kren serta memastikan aspek-aspek keselamatan dititikberatkan oleh setiap pekerja.

Kemalangan maut yang membabitkan kren yang terbalik di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Read 21210 times Last modified on Monday, 07 September 2015 11:42

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Most Popular News

open