Friday, 20 April 2018

Warning

JUser: :_load: Unable to load user with ID: 999

Thursday, 04 October 2012 14:48

Insiden Pergi Balik Kerja Serius

Written by
Rate this item
(0 votes)

Utusan Malaysia, 4 October 2012

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Dua daripada tiga kematian berkaitan kerja yang berlaku setiap hari di Malaysia adalah akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan pergi dan balik kerja dan ini menjadi kebimbangan utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.

Walaupun kemalangan industri telah berkurangan di Malaysia, jumlah kemalangan semasa dalam perjalanan pergi dan balik kerja meningkat hampir 40 peratus bagi tempoh enam tahun lepas kepada 24,809 kemalangan tahun lepas daripada 17,704 kemalangan pada 2006, katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kadar keseluruhan kemalangan di tempat kerja telah menurun sebanyak 37 peratus daripada 95,006 kemalangan pada tahun 2000 kepada 59,897 kemalangan pada 2011 berikutan peningkatan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang sejak 10 tahun lepas.

Namun Lee berkata, beliau bimbang dengan jumlah tinggi kemalangan maut di Malaysia membabitkan pekerja dalam perjalanan pergi dan balik kerja kerana dunia pekerjaan telah berubah secara drastik berikutan globalisasi, perubahan demografik, penghijrahan dan perubahan struktur keluarga.

Terdapat lebih 6,000 kematian dicatatkan setiap tahun bagi tempoh beberapa tahun lepas dan ini diterjemahkan kepada kira-kira 18 hingga 20 orang terbunuh setiap hari. Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kepada kira-kira 60 peratus kematian dan kebanyakan mereka masih muda dan sedang berada di kemuncak kehidupan mereka," tegasnya.

Lee berkata, impak daripada kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik kerja adalah lebih besar daripada kemalangan industri kerana kemalangan semasa dalam perjalanan biasanya melibatkan pelbagai kecederaan yang jauh lebih trauma dan teruk berbanding kemalangan di tempat kerja.

Masalah berkaitan dengan peningkatan jumlah kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik kerja selalunya disebabkan kurang kesedaran di kalangan pekerja bagi pemanduan dan penunggangan selamat semasa pergi dan balik kerja, kurang program latihan khusus untuk mencegah kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik kerja dan kurang elemen keselamatan di jalan raya yang serupa dengan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Lee berkata, walaupun banyak jabatan dan agensi kerajaan terlibat dalam program pencegahan kemalangan jalan raya, tidak ada pihak berkuasa tunggal untuk mewajibkan program pencegahan kemalangan semasa dalam perjalanan pergi dan balik kerja dan kerajaan perlu mengkaji perkara ini dengan serius.

Beliau berpendapat tindakan serius perlu diambil untuk membangunkan program yang menggalakkan perubahan sikap di kalangan pengguna jalan raya di Malaysia untuk mengatasi masalah memandu secara cuai dan kurang beretika.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekolah-sekolah memandu perlu memasukkan perubahan sikap itu dalam sukatan pelajaran mereka manakala majikan perlu mempunyai tangggungjawab moral untuk mengambil pendekatan proaktif terhadap pengurusan risiko di jalan raya, yang akan meninggalkan kesan secara langsung ke atas kos mereka daripada segi pengurangan masa kerja staf, premium insurans lebih tinggi dan imej kurang baik.

Lee berkata, NIOSH juga sedang berusaha menambahbaik modul latihan bagi keselamatan penunggang motosikal dan kursus pemanduan berhemah di masa depan. - BERNAMA

Read 1868 times Last modified on Monday, 07 September 2015 11:49

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Most Popular News

open